Main

Sunday 30 October 2011

Tempat-tempat yang Menarik Di Negara kita


JOHOR
Air Terjun Kota Tinggi

Air Terjun Kota Tinggi terletak 56 km di utara Johor Bahru dan 16 km dari Kota Tinggi. Air terjun ini berpunca dari Gunung Muntahak (2,080 kaki / 634 m). Air terjun setinggi 80 kaki (24 m) ini mengalir turun ke Sungai Pelepah. Kawasan persekitaran air terjun ini sejuk dan nyaman. Terdapat juga gerai makanan dan kawasan penginapan di situ.



KEDAH

Tasik Pedu

Tasik Pedu terletak di Padang Terap; 90 km dari Alor Setar. Tasik ini adalah antara destinasi percutian yang baru bagi negeri Kedah. Antara aktiviti sukan air yang boleh dilakukan di sini ialah memancing, jet ski, dan menaiki bot. Di tasik ini juga terdapat beberapa tempat penginapan yang menawarkan pakej kembali ke alam semula jadi, mengelilingi hutan tropika, flora dan fauna. Para pelawat juga boleh mencari dan melihat sendiri bagaimana lebah hutan gergasi mengumpul madu.



 KELANTAN
 
Istana Balai Besar

Istana Balai Besar terletak di pusat Bandar Kota Bharu. Istana kayu ini dibina pada tahun 1840. Istana Balai Besar ini pernah didiami oleh Sultan Muhammad. Kini istana ini digunakan untuk upacara adat istiadat negeri.







 KUALA LUMPUR

Dataran Merdeka

Dataran Merdeka terletak berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad. Padang yang seluas 8.2 hektar ini, banyak menyimpan peristiwa bersejarah. Di padang inilah upacara menurunkan bendera Union Jack pada tengah malam 31 Ogos 1957 dijalankan, sebagai tanda kemerdekaan Malaya daripada penjajahan British. Dahulunya padang ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor. Padang ini biasanya digunakan untuk perlawanan kriket, hoki, tenis, dan ragbi. Padang ini kemudiannya dibina semula pada tahun 1990-an dengan mengadakan ruang bawah tanah untuk lapangan letak kereta, pusat beli belah, dan rangkaian restoran. Pada masa kini, di samping menjadi pusat riadah warga kota, padang ini turut digunakan sebagai padang perlawanan kriket. Di samping itu, upacara sambutan kemerdekaan negara sering kali diadakan di padang ini. Di padang ini juga terdapat tiang bendera yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 100 m.



 LABUAN

Dataran Labuan

Dataran Labuan merupakan sebuah taman yang menarik. Di samping menempatkan beberapa buah jabatan kerajaan, dataran ini juga menempatkan beberapa buah batu peringatan, seperti batu peringatan yang merekodkan pertukaran nama Labuan kepada Maidashima semasa Perang Dunia Kedua, pendaratan 9 divisyen angkatan tentera diraja Australia, dan pembebasan Labuan. Di dataran ini juga terdapat beberapa batang pokok Flame of the Forest yang ditanam oleh masyarakat Melayu, Cina, India, dan Eropah sempena memperingati kemahkotaan Ratu Elizabeth II pada tahun 1953. Dataran ini juga mencerminkan status Labuan sebagai pusat kewangan luar pantai bertaraf antarabangsa.


 MELAKA

A' Famosa

Kota A'Famosa terletak berdekatan dengan Bukit St. Paul di Bandar Melaka. Kota ini juga dikenali sebagai Kota Santiago. Kota ini telah dibina oleh orang Portugis pada tahun 1911 dengan perintah Alfonso de Albuquerque. Pada asalnya pintu masuk ke kota ini diperbuat daripada kayu tetapi pintu itu telah diperbesar dan diperkuat dengan menggunakan batu batan daripada runtuhan istana, masjid dan makam-makam. Kota ini telah rosak teruk akibat daripada serangan penjajah Belanda, dan penjajah British juga telah berusaha untuk meruntuhkannya, tetapi Sir Stamford Raffles telah berjaya menyelamatkan sebahagian kecil struktur kota itu seperti yang ada pada masa kini.


 NEGERI SEMBILAN

Istana Sri Menanti

Istana Sri Menanti terletak di Sri Menanti, bahagian selatan Kuala Pilah, timur bandar Seremban. Sri Menanti ialah Bandar Diraja Negeri Sembilan. Istana ini dibina pada tahun 1903, oleh Tukang Kahar tanpa menggunakan paku mahupun skru. Terdapat 99 batang tiang di istana ini yang melambangkan 99 orang hulubalang yang mendirikan tiang-tiang istana itu semasa pembinaannya. Istana diraja ini juga mempunyai reka bentuk ukiran yang sungguh halus dan menarik. Istana yang dahulunya kediaman diraja kini telah diwartakan sebagai sebuah muzium diraja yang mempamerkan koleksi artifak dan salasilah diraja Negeri Sembilan.



 PAHANG

Genting Highlands

Genting Highlands terletak di pergunungan Gunung Ulu Kali, Banjaran Titiwangsa. Resort yang berada di paras 2 000 m dari aras laut ini menarik ramai pengunjung dari luar dan dalam negara terutamanya pada hujung minggu. Antara tarikan yang terdapat di tempat ini ialah Taman Tema Genting, Genting Theatre Restaurant, dan Casino de Genting. Di pekan Genting Jaya yang terletak di paras 950 m dari aras laut, pengunjung boleh menaiki kereta kabel untuk ke Genting Highlands.

 PERAK
Menara Condong Teluk Intan

Menara Condong ini terletak di tengah-tengah bandar Teluk Intan. Ada juga yang menggelarnya Menara Condong Pisa kerana menara di Teluk Intan ini hampir menyerupai menara condong di Itali itu. Seperti Menara Pisa, Menara Condong Teluk Intan juga condong ke arah kirinya. Jika dilihat dari luar, menara setinggi 25.5 m ini kelihatan seperti mempunyai 8 aras. Tetapi, jika dilihat dari dalam menara tersebut ketinggian menara tersebut hanyalah kira-kira tiga tingkat sahaja. Menara Condong Teluk Intan ini dibina pada tahun 1885 oleh Leong Choon Chong. Struktur bangunan ini menyerupai bangunan Pagoda di China.


 PERLIS
 
Tasik Melati

Terletak 8 km ke utara Kangar, Tasik Melati merupakan sebuah tasik cetek yang kecil dan indah. Lebih 150 buah pulau-pulau beting pasir kelihatan bertaburan di tasik ini. Pulau-pulau kecil ini boleh dihubungi dengan sampan. Siar kaki membolehkan pengunjung menikmati pemandangan yang menarik. Tempat istirahat yang banyak juga disediakan. Tasik ini merupakan destinasi terbaik kepada mereka yang mahu beristirahat.




 PULAI PINANG
Tokong Kek Lok Si

Tokong Kek Lok Si terletak di atas sebuah bukit di Ayer Hitam. Tokong yang dibina pada tahun 1893 ini telah disiapkan pada tahun 1905. Manakala tarikan utama tokong ini, Pagoda 10,000 Budhha pula hanya berjaya disiapkan pada tahun 1930. Tokong ini dikatakan antara yang terbesar dan tercantik di Asia Tenggara.






 SABAH
Gunung Kinabalu

Tarikan utama di Taman Kinabalu ialah Gunung Kinabalu. Dengan ketinggian 4 095.2 m dari aras laut, Gunung Kinabalu ialah gunung yang tertinggi di Malaysia. Taman yang terletak di Banjaran Crocker ini juga terkenal dengan Rafflesia, bunga terbesar di dunia.







 SARAWAK

Taman Negara Mulu

Terletak di gunung Mulu iaitu pusat daerah Miri. Gua batu kapur di Mulu merupakan antara gua yang terbesar di dunia. Gua Rusa merupakan laluan terbesar dengan ketinggian 120 m dan lebih 1 km lebar. Gua ini juga didiami oleh beribu-ribu kelawar. Dengan kelebaran 600 m dan ketinggian 100 m, "Sarawak Chamber" adalah antara gua yang terbesar di dunia.



 
 SELANGOR

Batu Caves

Batu Caves terletak 13 kilometer di utara Kuala Lumpur. Terdapat tiga buah gua yang besar dan beberapa buah gua kecil di bukit batu kapur ini. Antara yang terkenal ialah gua kuil. Perkara menarik yang terdapat di dalam gua itu ialah sebuah kuil yang mempunyai siling setinggi 100 meter dan dipenuhi patung-patung pemujaan Hindu yang berukir indah. Untuk sampai ke kuil tersebut, anda perlu mendaki sebanyak 272 anak tangga. Pada setiap tahun seramai ratusan ribu orang penganut Hindu dan pelancong mengunjungi gua ini terutamanya semasa perayaan Thaipusam. Berdekatan dengan gua ini ialah gua gelap yang terdiri daripada beberapa rangkaian gua-gua yang jarang dilawati dan menjadi kediaman pelbagai jenis binatang gua. Untuk memasuki gua ini pengunjung perlu meminta kebenaran daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Malaysian Nature Society).





 TERENGGANU

Pulau Redang

Pulau Redang terletak 50 km dari pinggir pantai Kuala Terengganu. Pulau ini merupakan pulau yang terbesar daripada sembilan buah gugusan pulau-pulau di perairan Terengganu. Pulau Redang juga telah diisytiharkan sebagai sebuah taman laut. Air lautnya yang jernih, pantainya yang putih bersih serta hidupan marinnya yang pelbagai merupakan keistimewaan pulau ini. Aktiviti perikanan tidak dibenarkan dalam jarak 3.2 km dari pulau ini. Tumbuhan dan hidupan karang juga tidak dibenarkan diambil di pulau ini.